Rain


28/11/2014

Tuliskan suasana di kantin

Semua murid pernah ke kantin. Tuliskan suasana di kantin.

        Kantin merupakan tempat untuk murid-murid dan guru menjamu selera ketika di sekolah. Semua murid pasti pernah pergi ke kantin.

        Terdapat pelbagai jenis makanan yang dijual di kantin. Antara makanan yang dijual ialah nasi lemak, kuih-muih, mihun goreng dan buah-buahan.Makanan yang dijual merupakan makanan yang berkhasiat dan bersih.

        Pelbagai jenis minuman juga turut dijual di kantin. Ada sirap, air oren, teh ais dan juga jus buah-buahan. Minuman yang dijual di kantin bukan sahaja sedap malah harganya juga berpatutan.

        Semasa membeli makanan, murid-murid berbaris mengikut laluan yang disediakan. Pengawas yang bertugas akan memantau supaya tidak ada murid yang melanggar peraturan. Nama murid yang melanggar peraturan akan dicatat dan diserahkan kepada guru disiplin.

Para pekerja kantin amat mementingkan kebersihan. Mereka memakai apron dan penutup kepala serta menggunakan penyepit ketika menyentuh makanan. Oleh itu, murid-murid sangat yakin untuk makan di kantin.    


Selain menjadi tumpuan pada waktu rehat, kantin juga turut dikunjungi oleh murid-murid pada awal pagi untuk bersarapan. Kantin merupakan salah satu tempat yang sangat penting di sekolah.

Kamu telah ternampak kejadian kebakaran. .

Kamu telah ternampak kejadian kebakaran. Tuliskan sebuah karangan menceritakan tindakan yang kamu lakukan.

       Pada suatu petang saya dan beberapa orang rakan sedang bermain di padang permainan.Tiba-tiba, Aina ternampak kepulan asap dari arah kawasan perumahan. Tanpa berlengah, kami bergegas ke tempat kejadian.

       Saya dapati rumah rakan sekelas saya, Rohani sedang terbakar. Saya telah menyuruh Syifa ke pondok telefon untuk menelefon pihak bomba. Manakala saya dan rakan-rakan yang lain membantu mengangkat barangan penting ke tempat yang selamat.

       Sementara menunggu pasukan bomba tiba, saya dan penduduk kampung cuba memadamkan kebakaran dengan mengambil air menggunakan baldi. Usaha kami berjaya mengelakkan api merebak dengan cepat.

       Saya kemudiannya mendekati Rohani dan ibunya yang sedang bersedih dan panik. Saya cuba menenangkan Rohani supaya bersabar dan saya juga berjanji akan membantunya. Rohani hanya mampu menangis di bahu saya.

       Sejurus tiba, pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran. Rumah Rohani tidak dapat diselamatkan. Saya mengajak Rohani dan keluarganya menginap di rumah saya untuk sementara waktu.


       Saya, rakan-rakan dan guru-guru di sekolah banyak memberikan sokongan moral kepada Rohani. Keluarganya juga menerima banyak bantuan daripada orang ramai. Rohani sekeluarga amat bersyukur kerana selamat dalam kejadian kebakaran itu.

Surat rasmi:tidak hadir ke sekolah

Hanis bt Rosli,
Kampung Baru,
06010 Changlun,
Kedah.
______________________________________________________________
Puan Shahrum bt Awang,
Guru Kelas Tahun Enam Iltizam,
Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga
06050 Bukit Kayu Hitam,
Kedah.                                                                                          26 Ogos 2014

Puan,

Tidak Hadir ke Sekolah

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Saya Hanis bt Rosli ialah salah seorang murid Tahun Enam Iltizam. Saya ingin memaklumkan kepada puan bahawa saya tidak dapat hadir ke sekolah selama dua hari. Tarikh saya tidak dapat hadir itu pada 25 dan26 Ogos 2014 iaitu pada hari Isnin dan Selasa.

3. Saya tidak dapat hadir ke sekolah pada dua hari tersebut kerana demam. Saya mengalami demam kerana terkena hujan panas pada hari semalamnya sewaktu pergi membeli barang di kedai. Selepas saya pulang ke rumah, kepala saya pening dan badan saya berasa menggigil.

4. Untuk pengetahuan puan, saya sudahpun dibawa oleh bapa saya ke klinik untuk mendapat rawatan daripada doktor. Beliau telah memberi saya ubat demam dan antibiotik. Doktor juga telah memberi saya surat cuti sakit selama dua hari iaitu pada hari yang saya tidak hadir ke sekolah itu.

5. Saya berjanji akan hadir ke sekolah setelah tempoh cuti sakit saya habis. Saya akan bertanya kepada rakan-rakan tentang kerja sekolah yang telah saya ketinggalan.Saya juga akan menyiapkan semua kerja sekolah yang tidak dapat dibuat selama tempoh saya tidak hadir tersebut.

Akhir kata, perhatian dan kerjasama pihak puan diucapkan terima kasih.

Sekian.

Yang benar,
Hanis
(HANIS BT ROSLI)

Murid Tahun Enam Iltizam,
Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga.

Surat:persiapan menghadapi UPSR

                                                                                                               Kampung Baru,
                                                                          06010 Changlun,
                                                                          Kedah.
                                                                          25 Ogos 2014.

 Menemui sahabatku Athirah yang kini berada di Kangar, Perlis. Apa khabar saudari sekarang? Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Saudari,

        Surat saudari telah saya terima seminggu yang lalu. Terima kasih kerana saudari sudi mengutus surat serta bercerita tentang diri saudari. Dalam surat ini, saya akan memenuhi permintaan saudari yang ingin mengetahui tentang persediaan saya untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

        Untuk pengetahuan saudari, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Langkah pertama saya adalah dengan mengubahsuaikan jadual waktu belajar. Saya akan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran dari pukul 9.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

         Selain menghadiri kelas tambahan di sekolah, saya juga ada mengikuti kelas tambahan di luar. Saya belajar di Kelas Tuisyen Azam sebanyak tiga kali seminggu untuk memastikan kecemerlangan dalam pelajaran. Dengan menghadiri kelas tambahan, saya dapat membuat latihan yang lebih banyak.

         Di samping itu, saya juga telah menubuhkan kumpulan belajar di kampung. Saya dan beberapa rakan sekelas akan berkumpul di Dewan Awam pada hari minggu untuk belajar bersama-sama. Belajar secara berkumpulan memberi peluang kepada kami untuk berbincang topik-topik yang sukar serta bertukar-tukar nota.

        Seterusnya, saya juga banyak melakukan ulangkaji secara atas talian. Kini, banyak laman web yang menyediakan kemudahan latih tubi soalan-soalan UPSR. Antara laman web yang saya lawati ialah Latih Tubi dan iTRIM.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudari kali ini. Semoga kita akan dapat berutus surat lagi pada masa akan datang.

                                                                          Sahabatmu,

                                                                          Aizatul Mustafa
                                                                          (Aizatul bt. Mustafa )


LAPORAN TAHUNAN PERSATUAN BAHASA MALAYSIA

 LAPORAN TAHUNAN PERSATUAN BAHASA MALAYSIA

        Persatuan Bahasa Malaysia Sekolah Kebangsaan Bukit Tangga dianggotai oleh murid-murid Tahap Dua sahaja. Jumlah ahli pada 2014 ialah seramai 30 orang. Persatuan ini diterajui oleh 3 orang guru penasihat. 

        Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tahun 2014, dimulai dengan Mesyuarat Agung pada 20 Februari 2014. Manakala Mesyuarat Ahli Jawatankuasa telah diadakan sebanyak  tiga kali. Tujuan mesyuarat-mesyuarat ini diadakan adalah untuk menyusun aktiviti persatuan.

        Persatuan Bahasa Malaysia telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke sekitar Bandaraya Alor Setar pada 15 Mei 2014. Antara tempat yang dilawati ialah Muzium Negeri, Balai Seni, Menara Alor Setar dan Muzium Padi. Tujuan lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli tentang khazanah dan keistimewaan negeri Kedah

        Sambutan Minggu Bahasa telah diadakan pada minggu kedua bulan Julai. Dalam sambutan ini, diadakan aktiviti mendeklamasi puisi, pertandingan tulisan cantik dan kuiz bahasa.  Penyertaan adalah dibuka kepada semua pelajar tahap satu dan tahap dua.

        Seterusnya, Persatuan Bahasa Malaysia telah menganjurkan Pertandingan Mengarang Sajak dan Pantun Patriotik bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada 20 Ogos 2014. Di samping mengasah bakat, aktiviti ini dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar.

        Pelbagai aktiviti telah berjaya dijalankan sepanjang tahun 2014 kerana kerjasama semua ahli. Semoga pada tahun hadapan banyak lagi aktiviti yang boleh dijalankan demi kebaikan semua.


Disediakan oleh,                                     Tarikh: 30 Oktober 2014


NurHanis
(NUR HANIS BT ROSLI)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Malaysia,

Sekolah Kebangsaan Bukit Tangga.

Tindakan nampak basikal di tepi jalan.

Ketika pulang dari sekolah, kamu ternampak sebuah basikal terbiar di tepi jalan.Tuliskan tindakan yang kamu ambil.
Isi penting:
1-periksa basikal     2-periksa kawasan sekeliling     3-nampak budak-budak ponteng      4-lapor kepada guru

Pada suatu hari, ketika pulang dari sekolah, saya telah ternampak sebuah basikal yang dibiarkan di tepi jalan. Jika tidak silap saya basikal itu adalah kepunyaan Zaidi, anak jiran sebelah rumah saya.
        Saya memeriksa keadaan basikal itu kerana bimbang kemungkinan Zaidi terlibat dalam kemalangan. Namun basikal itu tiada sebarang kerosakan. Saya menjadi bertambah hairan.
        Saya cuba memeriksa kawasan sekeliling sambil memanggil-manggil nama Zaidi. Namun demikian tiada sesiapa di situ. Keadaan di situ sunyi sahaja kerana jalan itu memang jarang dilalui oleh orang ramai.
        Saya bertindak memeriksa kawasan hutan berdekatan. Apabila saya menghampiri hutan tersebut, saya dapat melihat beberapa orang budak berpakaian sekolah. Rupa-rupanya Zaidi dan beberapa orang murid lain sedang merokok. Mereka juga telah ponteng sekolah.
        Saya segera meninggalkan tempat itu. Saya melaporkan hal itu kepada guru disiplin, Cikgu Azman. Kemudian Cikgu Azman meminta saya menunjukkan tempat itu kepadanya. Saya pun akur.

        Pihak sekolah telah mengambil tindakan disiplin terhadap Zaidi dan kawan-kawannya. Kini sikap Zaidi sudah berubah. Dia tidak ponteng sekolah dan merokok lagi.

KEBAIKAN MEMBAWA BEKAL KE SEKOLAH



Setiap hari kita diberikan wang saku oleh ibu bapa untuk membeli makanan dan minuman di kantin sekolah. Namun begitu, kita juga boleh membawa bekal ke sekolah. Membawa bekal ke sekolah sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada kita.

Apabila kita membawa makanan sendiri ke sekolah, kita akan dapat menjimatkan wang kita. Wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kita boleh disimpan di dalam tabung atau di bank. Lama-kelamaan wang tabungan kita akan bertambah,  seperti kata pepatah, “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”.

Selain itu, makanan yang dibekalkan oleh  ibu kita semestinya sedap dan berkhasiat. Ini dapat mengelakkan  kita daripada terkena keracunan makanan.  Kita juga akan lebih berselera untuk menikmati makanan yang dimasak oleh ibu pada waktu rehat.

Di samping itu, kita tidak perlu lagi  berebut-rebut atau beratur untuk membeli makanan di kantin. Kita dapat menjamah terus makanan yang dibawa dari rumah.  Masa rehat kita dapat dijimatkan. Oleh itu, kita masih ada masa untuk membaca buku atau akhbar di perpustakaan.

Kita juga boleh bertukar-bertukar atau berkongsi bekal dengan kawan-kawan kita. Dengan ini, perhubungan kita dengan kawan-kawan akan menjadi lebih erat. Selain itu, kita juga dapat merasa makanan yang pelbagai.


Kesimpulannya, membawa bekal ke sekolah memang mendatangkan banyak manfaat kepada kita. Oleh, itu ada baiknya amalan tersebut kita lakukan untuk kebaikan diri kita sendiri.

Sambutan Hari Kanak-kanak



7.30 pagi-Semua murid dan guru berkumpul di dewan sekolah. Perhimpunan rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Kemudian, wakil murid, Izwan menyampaikan ucapan sempena Hari Kanak-kanak.

8.00 pagi-Guru besar menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau mahu semua murid menjadi anak yang soleh. Beliau turut berpesan agar semua murid tahu menjaga keselamatan diri sama ada di sekolah, di rumah ataupun di taman permainan. Kami memasang telinga mendengar kata-kata beliau.

8.30 pagi-Persembahan bakat oleh murid-murid tahun satu dan prasekolah. Persembahan mereka begitu menghiburkan dan penuh dengan mesej. Sikap yakin diri memang terserlah dalam kalangan murid yang membuat persembahan itu.

10.00 pagi-Semua murid berkumpul di kantin untuk menikmati jamuan. Para guru memastikan setiap murid mendapat makanan dan minuman. Semua murid dijamu dengan juadah yang sangat istimewa iaitu nasi tomato berlauk ayam.

11.00 pagi-Kami berkumpul di padang untuk menyertai aktiviti sukaneka. Pelbagai jenis permainan sukaneka diadakan, antaranya ialah pancing botol, terompah gergasi dan isi air dalam botol. Semua murid diberi peluang untuk mengambil bahagian.


12.00 tengah hari- Acara penyampaian hadiah diadakan. Pasukan yang menang begitu gembira menerima hadiah masing-masing. Kemudian kami dibenarkan pulang awal.

Perihalkan tentang rakan karib kamu itu.



        Saya mempunyai seorang rakan karib.  Rakan karib saya bernama Farhah. Umurnya 12 tahun iaitu sebaya dengan umur saya. Kami selalu bersama-sama di sekolah mahupun di rumah.

        Farhah merupakan seorang yang ringan mulut dan pandai bergurau. Sesiapa sahaja akan suka berbual dengan Farhah kerana dia sentiasa mempunyai idea menarik untuk dibualkan. Dia juga selalu buatkan saya ketawa tidak kering gusi.

        Farhah bukan sekadar pandai, malah dia tidak kedekut ilmu. Dia sering membantu saya dan rakan-rakan lain dalam pelajaran. Saya kerap meminta tunjuk ajarnya dalam mata pelajaran Matematik.

        Dalam bidang kokurikulum pula, Farhah merupakan murid yang pernah mengharumkan nama sekolah. Tiga tahun berturut-turut dia mewakili daerah Kubang Pasu dalam pertandingan Tilawah al-Quran. Kebolehannya membaca al-Quran amat mengagumkan.



Pada waktu senggang, Farhah gemar melukis. Dia pernah menyertai beberapa pertandingan melukis di sekolah mahupun di luar. Saya selalu menemaninya melukis sambil berborak-borak.

     Hubungan saya dan Farhah bagaikan isi dengan kuku. Saya berasa sangat bertuah dapat berkawan dengan Farhah. Saya berdoa semoga persahabatan kami kekal selama-lamanya.

Tindakan jika hilang buku perpustakaan

Pada bulan lepas, saya telah meminjam sebuah buku berjudul ‘Tips Untuk Berjaya’ dari perpustakaan sekolah saya. Malangnya buku itu telah hilang sebelum sempat saya memulangkannya. Saya berasa sangat bersalah dan perlu bertanggungjawab.

Saya telah bertanya kepada ahli keluarga saya sekiranya mereka pernah mengambil dan menyimpan buku itu. Malangnya, semua ahli keluarga saya tidak tahu. Oleh sebab itu, saya meminta mereka membantu saya mencari buku tersebut di seluruh rumah saya.

Saya mencari buku tersebut di dalam bilik saya. Semua rak dan almari telah saya geledah, tetapi tetap tidak berjumpa. Selain di rumah, saya juga mencari di kelas, kantin dan makmal sekolah kerana saya pernah membawa buku itu ke sana. Semua usaha mencari gagal.

Setelah berbincang dengan ibu dan ayah, saya telah mengambil keputusan untuk menulis surat memberitahu Pn Shahrum, guru perpustakaan sekolah saya tentang kehilangan buku itu. Ketika menyerahkan surat tersebut, saya juga telah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama kelak.

Saya juga telah meminta wang daripada ibu untuk membayar ganti rugi. Saya juga telah membayar ganti rugi sebanyak RM12.50, iaitu mengikut harga buku tersebut. Mengikut kata Cikgu Shahrum, wang tersebut akan digunakan untuk membeli buku baru sebagai ganti.


Pengalaman kehilangan buku merupakan pengalaman pahit dalam hidup saya. Saya menyesal kerana tidak menjaga buku itu dengan baik. Saya berazam untuk lebih berhati-hati selepas kejadian itu.

27/11/2014

Semua orang mempunyai hobi. Tuliskan kebaikan hobi kamu.


      Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang. Seperti kebanyakan orang, saya juga mempunyai hobi iaitu memancing. Hobi memancing memberi banyak kebaikan kepada saya.
Antara kebaikan hobi memancing ialah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur. Ikan yang berjaya saya pancing boleh dijadikan hidangan untuk keluarga saya. Oleh yang demikian, ibu bapa saya tidak lagi perlu membeli ikan di pasar. 
      Hobi memancing juga merupakan hobi yang dapat menenangkan fikiran. Selalunya saya akan memancing di sungai atau tasik yang terletak di kawasan yang kampung. Suasana kampung yang sunyi dan terhindar daripada kesibukan, menjadikan fikiran saya tenang.            
      Selain itu, hobi memancing juga dapat meningkatkan daya tumpuan saya. Hal ini kerana ketika memancing, saya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada kail supaya tidak tidak terlepas ikan yang menyambar umpan saya. Dengan itu, daya tumpuan saya semakin  bertambah baik.
      Melalui hobi memancing juga saya dapat menambah kenalan. Saya dapat berkenalan dengan beberapa orang rakan yang mempunyai hobi yang sama. Selalunya kami akan bertukar-tukar pendapat tentang alatan memancing serta lokasi memancing yang menjanjikan hasil yang memuaskan.

      Kesimpulannya, hobi memancing yang saya lakukan pada masa lapang banyak memberikan kebaikan kepada saya dan keluarga. Saya akan memperkenalkan hobi ini kepada kawan-kawan saya.

Syarahan “Faedah Bergotong-royong”.



Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.

Hadirin sekalian,
Menurut Kamus Dewan,gotong-royong bermaksud mengerjakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong. Sesungguhnya amalan ini banyak memberi faedah.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah. Apabila dilakukan secara beramai-ramai, sesuatu pekerjaan yang sukar menjadi mudah dan cepat selesai. Contohnya gotong-royong menceriakan kelas memerlukan kerjasama semua murid untuk mencuci tingkap, menyapu lantai, membuang sawang dan banyak lagi.
                                                                                                            
Amalan bergotong-royong yang diamalkan ketika majlis kenduri pula dapat menjimatkan kos. Kerja-kerja memasak dan menghidang memerlukan tenaga kerja yang ramai. Sekiranya segala tugas tersebut diupah, sudah pasti upahnya mahal.

Kita hidup di negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk perlu mengekalkan amalan murni ini supaya dapat mengeratkan hubungan. Apabila masyarakat pelbagai kaum dan agama saling bekerjasama, maka kemesraan akan kian subur. Lantaran itu, negara kita akan menjadi sebuah negara yang aman dan sentosa.

Selain itu, bergotong-royong juga dapat memupuk nilai hidup bermasyarakat serta mengikis sikap mementingkan diri sendiri. Melalui amalan ini, seseorang akan dapat belajar cara untuk bersosial dan menghulurkan bantuan dengan ikhlas.

Sesungguhnya amalan bergotong-royong banyak faedahnya. Oleh yang demikian, hendaklah kita sering melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong supaya beroleh manfaatnya.


Sekian, terima kasih.

Cara menjaga keselamatan diri ketika pulang dari sekolah.


        Kebelakangan ini banyak disiarkan berita tentang kejadian buruk yang menimpa murid-murid ketika pulang dari sekolah. Berita-berita itu sangat membimbangkan ibu bapa. Oleh yang demikian, murid-murid harus pandai menjaga diri sendiri.
        Dalam keadaan jalan raya yang sibuk pada waktu pulang dari sekolah, murid-murid hendaklah mematuhi arahan pengawal jalan ketika hendak melintas. Dengan cara ini, keselamatan murid-murid akan lebih terjamin. Kemalangan akan dapat dielakkan.
Jika pulang dari sekolah dengan berbasikal,murid-murid mesti mengayuh basikal dengan berhati-hati. Patuhi semua peraturan jalan raya seperti berhenti apabila lampu isyarat merah menyala. Jangan berlumba-lumba di jalan raya kerana boleh mengundang bahaya.
Untuk murid yang berjalan kaki pula, dinasihatkan supaya berjalan beramai-ramai. Hal ini kerana penjenayah lebih mudah bertindak terhadap kanak-kanak yang bersendirian. Menumpang orang yang tidak dikenali juga perlu dielakkan untuk menjauhi perkara yang tidak dikehendaki seperti penculikan.
Selain itu, jika waris lambat datang menjemput, murid-murid hendaklah menunggu di tempat yang dikhaskan. Selain terlindung daripada panas matahari, keselamatan murid-murid juga sentiasa dipantau oleh pengawal bertugas. Lagipun waris tidak akan tercari-cari apabila mereka datang menjemput.

Semua murid perlu peka terhadap persekitaran dan berfikir sebelum bertindak demi keselamatan diri sendiri. Sentiasalah beringat –ingat sebelum terkena jangan seperti pepatah Melayu ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Hal ini kerana malang itu tidak berbau.

Berita perkhemahan


CHANGLUN, 1 Jun - Pasukan pengakap Sekolah Kebangsaan Bukit Tangga telah mengadakan aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Bukit Wang selama dua hari satu malam.

              Cikgu Fauzi selaku ketua komandan perkhemahan ini berkata, seramai 40 orang peserta daripada murid-murid Tahap 2 terlibat dengan perkhemahan ini. Manakala 10 orang guru pengiring bersama-sama membantu menjayakan aktiviti yang diadakan kali ini.

         Tujuan perkhemahan ini adalah untuk memupuk daya kepimpinan dalam kalangan ahli pengakap. Selain itu, perkhemahan ini juga menjadi medan untuk ahli pengakap mengeratkan silaturahim di samping menimba pengalaman hidup berdikari.

         Pelbagai aktiviti telah disusun agar program perkhemahan ini berjalan lancar. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kawad, meredah hutan, persembahan kebudayaan, masakan rimba dan sebagainya.Para peserta kelihatan begitu teruja melakukan setiap aktiviti yang dijalankan.

         Semangat tolong-menolong dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti yang dilaksanakan. Setiap peserta begitu bersungguh-sungguh melakukan aktiviti walaupun ada antara mereka yang nampak keletihan. Menurut komandan kem, kerjasama setiap kumpulan akan dinilai sepanjang perkhemahan ini berjalan.


        Oleh sebab perkhemahan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta, aktiviti ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan. Hal ini dicadangkan sendiri oleh guru besar ketika berucap pada majlis penutupan kursus tersebut.

KEBAIKAN BELAJAR BERKUMPULAN


        Terdapat banyak cara untuk belajar. Sebagai pelajar kita boleh belajar sendiri atau belajar secara berkumpulan. Belajar berkumpulan sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan kepada kita.
Apabila kita belajar secara berkumpulan, kita dapat bertanya tentang pelajaran yang tidak kita fahami kepada rakan. Kata pepatah, “malu bertanya, sesat jalan”. Oleh itu, segala masalah kita dalam pelajaran akan dapat diatasi serta-merta dengan bantuan kawan-kawan kita.
Kita juga akan lebih memahami sesuatu perkara jika kita belajar secara berkumpulan. Kawan-kawan kita yang lebih pandai akan memberikan penerangan yang jelas. Sebaliknya, apabila kawan kita pula yang tidak memahami sesuatu perkara, kita boleh membantunya dengan memberikan penerangan yang dimintanya.
Di samping itu, kita juga tidak akan berasa jemu atau mengantuk. Pembelajaran secara berkumpulan yang diselang-selikan dengan perbualan dan gurauan tentunya akan menjadi lebih menarik. Oleh itu,kita akan menjadi lebih bermotivasi untuk belajar.
Kita juga boleh bertukar-bertukar atau berkongsi pendapat dengan kawan-kawan kita. Dengan cara ini, ilmu pengetahuan kita akan bertambah dari semasa ke semasa. Perhubungan kita dengan kawan-kawan juga akan menjadi lebih erat.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan memang mendatangkan banyak manfaat kepada kita. Oleh, itu amalkanlah belajar secara berkumpulan untuk kebaikan kita bersama.

Dialog: Rakan mendapat 5A



Din   : Helo, boleh saya bercakap dengan Abu ?
Abu  : Helo, Abu di sini. Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana ?
Din   : Saya Din. Apa khabar ?
Abu  : Din rupanya. Saya sihat. Sudah lama kita tidak berjumpa.
Din   : Ya. Saya ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan kamu           
          memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah     
          Rendah yang lalu.
Abu  : Terima kasih. Saya bersyukur kerana dapat merealisasikan     
          impian saya dan keluarga. Saya begitu teruja untuk berkongsi 
          kejayaan ini dengan guru, ibu bapa dan rakan-rakan. 
          Bagaimanakah kamu tahu saya mendapat 5A ? 
Din   : Petang tadi kawan baik kita, Amirul telah memaklumkan kejayaan 
          kamu kepada saya. Saya berasa bangga dengan kejayaan kamu. 
          Walaupun kamu seorang murid yang aktif dalam bidang 
          kokurikulum dan menyandang banyak jawatan, kamu tetap 
          cemerlang dalam pelajaran.
Abu : Kamu juga boleh berjaya jika ada kemahuan. Walaupun kita aktif 
         dalam bidang kokurikulum, kita perlu bijak  membahagikan masa. 
         Kita perlu mempunyai jadual belajar sendiri dan memberikan fokus 
         ketika guru sedang mengajar di dalam kelas.
Din   : Terima kasih, Abu kerana sudi memberikan nasihat dan panduan
          berguna kepada saya.Adakah kamu telah ditawar melanjutkan
          pelajaran ke sekolah berasrama penuh ?
Abu : Belum lagi. Saya berhasrat untuk memasuki Maktab Rendah Sains
          Mara. Sekolah ini menjadi pilihan saya kerana sekolah ini telah
          melahirkan banyak pemimpin negara.Saya sendiri bercita-cita 
          menjadi salah seorang pemimpin negara.
Din   : Syabas, Abu kerana mempunyai cita-cita tinggi!  Saya berharap 
           kamu akan berjaya merealisasikan impian kamu itu.
Abu  : Saya juga mendoakan agar kamu mencapai keputusan yang 
           cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada tahun 
           hadapan.
Din   : Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk berbual dan

          memberikan kata-kata semangat kepada saya.
Din   : Sama-sama.

Faedah-faedah Menabung


Menabung merupakan amalan mulia. Tuliskan faedah yang diperoleh daripada amalan menabung.


         Menabung merupakan amalan yang harus dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biar daripada rebungnya. Pelbagai faedah dapat diperoleh daripada amalan menabung.

         Amalan menabung dapat membentuk diri menjadi insan yang berjimat-cermat. Kita akan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli barang. Kita dapat membezakan antara barangan perlu dan barang yang diinginkan.

        Selain itu, wang tabungan boleh digunakan ketika berlaku kecemasan. Jika ada ahli keluarga yang mengalami sakit kronik, wang tabungan boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan pakar. Oleh yang demikian, kita tidak perlu meminjam daripada orang lain.

        Melalui amalan menabung juga, kita akan dapat memiliki barangan yang dihajati tanpa meminta-minta daripada ibu bapa. Sebagai contoh, jika kita hajatkan permainan video, kita akan dapat membelinya menggunakan wang tabungan. Dengan itu kita tidak perlu menyusahkan ibu bapa kita.


       Di samping itu, wang tabungan dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa apabila kita menyambung pelajaran ke universiti kelak. Banyak belanja yang diperlukan, lebih-lebih lagi jika belajar di kolej swasta. Wang tabungan yang ada boleh digunakan untuk membeli alat tulis, buku dan membayar yuran pengajian.

     Kesimpulannya, amalan menabung harus diamalkan oleh semua orang. Amalan menabung dapat membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.

Tindakan : Basikal pancit


Kamu dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki basikal. Tiba-tiba tayar basikal kamu pancit. Tuliskan tindakan seterusnya yang kamu lakukan.

     
Setiap hari aku ke sekolah dengan mengayuh basikal. Pada suatu hari, tayar basikalku telah pancit di pertengahan jalan. Rupa-rupanya tayar basikalku terkena paku.

       Aku menoleh ke belakang apabila terdengar bunyi enjin motokar. Aku menahan motokar tersebut untuk menumpangnya. Malangnya motokar tersebut sarat dengan muatan kerana pemandunya ialah peniaga pasar tani.

       Memandangkan tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut, aku bertekad untuk menuntun basikalku ke sekolah. Basikalku terasa sangat berat kerana tayarnya kempis dan sukar untuk berpusing walaupun ditolak dengan kuat. Aku berhenti rehat sejenak.

       Oleh sebab terlalu penat, aku meninggalkan basikalku di tepi jalan. Seterusnya, aku berjalan menuju sebuah bengkel membaiki basikal yang terletak 200 meter di hadapanku. Nasib tidak menyebelahiku, notis tutup tertampal dipintu bengkel tersebut.

       Tiba-tiba aku ternampak sebuah pondok telefon awam tidak jauh dari situ. Aku ke pondok telefon itu dan menelefon ayahku. Ayahku datang dan menghantar aku ke sekolah dengan motosikalnya.

       Apabila pulang dari sekolah, aku lihat basikalku sudah ada di rumah. Tayarnya sudah diganti baru oleh ayah. Aku berasa sangat gembira.

07/01/2014

Cara-cara/ Langkah-langkah Menjadi Murid Cemerlang

Semua murid mempunyai impian menjadi pelajar cemerlang.Tuliskan langkah-langkah yang kamu ambil untuk mencapai impian kamu itu.


Setiap murid ingin cemerlang dalam pelajaran.Banyak langkah yang boleh diambil untuk menjadi murid cemerlang.

Langkah pertama ialah setiap murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka.Mereka harus tahu subjek yang tidak dapat dikuasai. Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi mengatasi kelemahan tersebut.

            Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar sendiri.Murid akan tahu masa yang sesuai untuk belajar , berbual-bual dengan rakan dan bersukan.Oleh itu mereka tidak akan membuang masa dengan sia-sia.

Di samping itu, setiap  murid mesti memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan.Murid perlu banyak membuat latihan. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.

            Seterusnya, semua murid mesti menjaga kesihatan diri. Mereka mesti makan makanan  yang seimbang dan bijak mengawal emosi.Dengan itu murid akan lebih yakin dan tenang menjawab soalan peperiksaan.

          Sekiranya murid mengikuti langkah-langkah tersebut, sudah tentu mereka akan berjaya dengan cemerlang.Ingatlah kejayaan tidak akan datang tanpa usaha.