Rain


30/12/2014

Ada kecemasan, kamu tidak dapat hadir ke sekolah. Tuliskan tindakan anda.



Kamu telah menghadapi kecemasan ketika di rumah. Oleh yang demikian, kamu tidak dapat hadir ke sekolah.Tuliskan tindakan yang kamu lakukan.

       Pada minggu lepas, keluarga saya telah mengalami hal kecemasan. Adik saya telah mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Situasi menjadi sangat membimbangkan setelah adik saya tidak sedarkan diri.

      Akibat daripada kejadian itu, saya  tidak dapat hadir ke sekolah. Saya ke hospital bersama-sama ibu bapa dan adik saya. Saya meminta bantuan Afrina, kawan sekelas yang tinggal sekampung dengan saya  untuk memaklumkan ketidakhadiran saya kepada guru kelas.

     Ketika menemani adik saya yang menerima rawatan di hospital, saya tidak membazirkan masa begitu sahaja. Saya membuat ulang kaji dengan membaca nota-nota ringkas yang diberi oleh guru. Saya juga turut membacakan buku-buku cerita untuk adik saya.

      Setelah tiga hari di hospital, adik saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya kemudiannya meminta ayah menulis surat kepada guru kelas. Surat berkenaan saya serahkan kepada guru kelas keesokan harinya. Cikgu memahami situasi saya dan turut mendoakan agar adik saya cepat sembuh.

    Saya ketinggalan banyak pelajaran akibat tidak hadir ke sekolah. Justeru, saya mengambil tindakan meminjam buku kawan-kawan untuk menyalin nota yang diberi oleh guru. Saya juga turut meminta Yaani, rakan saya yang bijak mengajar saya topik yang tidak saya fahami.


     Saya bersyukur kerana cikgu dan rakan-rakan memahami situasi saya serta ikhlas membantu saya dalam pelajaran. Saya juga gembira kerana adik saya telah sembuh sepenuhnya.


Faedah melancong

Ramai yang gemar melancong. Tuliskan faedah melancong.


   Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang gemar melancong. Tahukah anda bahawa melancong memberikan banyak faedah kepada kita?

   Jauh perjalanan, luas pemandangan maka bertambah pengalaman; itulah pepatah yang kerap didengar. Memang benar pengalaman kita akan bertambah apabila kita melihat budaya dan adat resam masyarakat di tempat yang kita lawati.Banyak perkara baru yang boleh dipelajari semasa melancong.

   Melancong juga menjanjikan ketenangan fikiran dan jiwa. Hal ini kerana, keindahan alam yang kita nikmati semasa melancong akan membuatkan kita tenang serta menghilangkan tekanan di tempat kerja untuk seketika.Semasa melancong, urusan kerja sudah diutamakan lagi.

   Selain itu, melancong juga mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Ahli keluarga dapat menghabiskan masa bersama-sama tanpa gangguan. Ibu bapa yang sibuk dapat mengambil kesempatan ini untuk melayani kehendak anak-anak dan bergembira bersama-sama.

   Seterusnya, melancong juga dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat. Semasa melancong, kita akan berbelanja untuk makan dan minum serta membeli-belah pelbagai cenderamata.Hal ini sudah pasti dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

   Sesungguhnya melancong banyak faedahnya. Oleh itu, jika berkesempatan dan berkemampuan, pergilah melancong sama ada di dalam atau di luar negara.