Rain


23/07/2017

Karangan Fakta

Kebaikan Membeli Barangan Buatan Malaysia

Slogan Belilah Barang Buatan Malaysia merupakan slogan yang sering kita dengar sama ada di televisyen atau di radio. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh dengan membeli barangan buatan Malaysia.
         
        Antara kebaikan membeli barangan buatan Malaysia ialah dapat menjimatkan kos. Barangan yang dihasilkan di dalam negara sudah pasti dapat dijual dengan murah kerana tidak perlu menampung kos pengangkutan untuk membawa masuk produk dari luar negara. Selain itu kos pembuatannya juga murah kerana menggunakan bahan mentah yang tidak perlu diimport.

        Seterusnya, kita juga dapat menggunakan barangan yang berkualiti jika membeli barangan buatan Malaysia. Barangan buatan Malaysia sudah setanding mutunya dengan barangan luar negara. Hal ini kerana, penghasilan produk di dalam Malaysia perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan.

        Di samping itu, barangan buatan Malaysia mudah didapati di mana-mana kedai di Malaysia. Banyak kedai yang menjual barangan buatan Malaysia lantaran harganya yang murah dan kualitinya yang baik. Lebih-lebih lagi kerajaan Malaysia telah mewujudkan rangkaian kedai yang hanya menjual barangan buatan Malaysia iaitu Kedai 1 Malaysia.

        Selain itu, dengan membeli barangan buatan Malaysia, kita dapat membantu mengembangkan ekonomi negara. Bukan sahaja pengilang-pengilang tempatan dapat memajukan perniagaan mereka, bahkan jumlah pengusaha baharu akan bertambah.  Hal ini akan memboleh ekonomi negara berkembang pesat.


        Sesungguhnya membeli barangan buatan Malaysia banyak menberikan kebaikan. Rakyat Malaysia perlu menjadi pengguna yang bijak.