Rain


02/12/2014

Tindakan menjumpai dompet

Pada suatu hari, kamu telah menjumpai dompet seseorang yang tercicir. Tuliskan tindakan yang kamu lakukan.

        Pada suatu hari, ketika berjalan-jalan di pasar malam, kakiku terpijak sesuatu. Apabila diamati, rupa-rupanya sebuah dompet duit yang agak lusuh. Lalu, aku tunduk dan mengambilnya.

        Keadaan dompet yang lusuh dan zipnya terkoyak, membuatkan aku terfikir bahawa dompet itu telah dibuang. Lalu aku pun mencampakkannya semula. Aku terus berjalan melihat barang-barang jualan yang pelbagai.

        Tiba-tiba, aku terdengar suara seorang tua yang merungut-rungut sendirian. Dia seolah-olah sedang menghadapi masalah. Aku beranikan diri bertanya. Rupa-rupanya pak cik inilah pemilik dompet tadi. Aku berasa bersalah.

        Aku segera memimpin tangannya ke tempat dompet tadi dicampak. Mujurlah dompet itu masih di situ. Dengan segera dompet itu dibukanya. Dia mengucup dompet duitnya itu sambil menitiskan air mata.

        Pak cik itu menunjukkan beberapa keping wang RM1.00. Menurutnya, wang itu disimpannya untuk membeli tiket bas untuk menziarahi anaknya yang sudah lama tidak pulang menjenguknya. Aku bersimpati mendengar ceritanya.

        Selepas kejadian itu, aku sering mengunjungi pak cik itu di terataknya yang usang. Aku gemar berbual-bual untuk menghiburkan hatinya yang sunyi. Kerapkali aku membawa buah tangan untuknya.