Rain


05/09/2015

Karangan dialog: Kejayaan rakan dalam Program NILAM

*Sepatutnya karangan dialog ditulis secara santak ke dalam, tetapi cikgu tidak dapat lakukan demikian akibat masalah teknikal. 

Kamu telah berbual-bual dengan seorang rakan yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Sekolah.

Tuliskan sepenuhnya perbualan kamu dengannya.


Hanis: Selamat pagi Ikha. Tahniah kerana kamu telah berjaya dinobatkan sebagai Tokoh Nilam sekolah kita. Apakah perasaan kamu?

Ikha: Selamat pagi dan terima kasih Hanis. Saya sangat bersyukur kerana mendapat anugerah tersebut. Saya berterima kasih kepada semua guru dan rakan yang sudi pinjamkan saya buku-buku. Jasa mereka tidak akan saya lupakan.

Hanis: Siapakah yang telah memberi dorongan kepada kamu untuk terus membaca?

Ikha: Sebenarnya ibu bapa sayalah yang menjadi pendorong utama saya. Kedua-dua mereka selalu belikan saya buku-buku yang menarik. Kadang-kadang, kami membaca bersama-sama.

Hanis: Boleh kamu kongsikan apakah rahsia sehingga berjaya membaca sebanyak 1500 buah buku?

Ikha: Rahsia saya ialah disiplin yang tinggi. Saya akur kepada jadual yang telah saya susun. Seminggu, saya akan membaca 20 buah buku secara tetap.

Hanis: Selepas kejayaan ini, apa pula perancangan kamu?

Ikha: Saya berazam untuk membaca lebih banyak buku ilmiah dan buku agama. Lebih-lebih lagi, tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan penting.

Hanis: Saya bangga mempunyai rakan yang bermotivasi tinggi seperti kamu. Saya berharap kamu akan meraih kejayaan yang lebih besar.

Ikha: Terima kasih, Hanis.


Karangan Manfaat Program NILAM kepada pelajar.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di seluruh Malaysia.
Tuliskan sebuah karangan tentang manfaat program ini kepada para murid.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di Malaysia. Program ini banyak memberikan manfaat kepada para murid.

Antara manfaat program NILAM ialah dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini terjadi apabila para murid diwajibkan membaca dan terus membaca untuk direkodkan ke dalam buku Rekod NILAM. Membaca secara berterusan boleh menyebabkan amalan tersebut kekal menjadi tabiat.

Selain itu, program ini juga mampu memberi pengiktirafan kepada para murid. Murid yang mencatat bacaan yang terbanyak dalam buku Rekod NILAM akan dianugerahkan gelaran Tokoh NILAM. Anugerah yang diberi akan menjadi perangsang kepada murid untuk lebih berjaya.

Seterusnya, melalui program NILAM ini juga murid-murid dapat memperluas pengetahuan masing-masing. Pengetahuan murid-murid akan bertambah ekoran membaca pelbagai jenis buku yang sudah pastinya mengandungi banyak ilmu. Hal ini bersesuai dengan kata pepatah Melayu iaitu membaca jambatan ilmu.

Di samping itu, program NILAM juga membolehkan murid-murid menggunakan masa terluang dengan berfaedah. Masa lapang yang ada digunakan untuk membaca bersama keluarga dan rakan-rakan. Oleh yang demikian, mereka dapat terhindar daripada melakukan aktiviti yang tidak senonoh.


Sesungguhnya program NILAM memang banyak mendatangkan manfaat kepada murid-murid. Peluang terbaik ini hendaklah direbut oleh semua murid demi kebaikan sendiri.