Rain


30/11/2014

Rakan cedera ketika bersukan

Sekolah kamu telah mengadakan aktiviti merentas desa peringkat sekolah. Semasa mengikuti aktiviti tersebut, seorang murid telah terjatuh di hadapan kamu.Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan.

Pada hari Khamis yang lepas, sekolah saya telah mengadakan aktiviti merentas desa peringkat sekolah. Semua murid tahap dua telah mengambil bahagian. Sedang saya berlari, tiba-tiba Asyilah telah terjatuh di hadapan saya.
                 
         Saya menerpa ke arah Asyilah untuk membantunya. Saya lihat lutut Asyilah berdarah manakala mukanya pula pucat seperti mayat. Peluh membasahi pakaiannya dan dia kelihatan sangat lemah dengan matanya dipejamkan.

Saya memapah Asyilah ke bawah sebatang pokok di tepi jalan supaya teduh dan selamat. Di bawah pokok, saya membuka kasut dan stokingnya supaya lebih selesa. Tudungnya saya longarkan, kemudian saya mengipas-ngipas badan Asyilah dengan sapu tangan kepunyaan saya.

Melihat keadaan Asyilah yang semakin lemah, saya lantas menjerit meminta tolong. Mujurlah Cikgu Fauzi yang bertugas mengawasi peserta datang dengan keretanya. Saya membantu Cikgu Fauzi mengangkat Asyilah masuk ke dalam kereta lalu dibawa ke khemah kecemasan.

Di khemah kecemasan, saya membantu Cikgu Shahrum membalut luka Asyilah serta memberinya minum air glukos. Menurut Cikgu Shahrum, kemungkinan Asyilah tidak bersarapan menyebabkan dia kehilangan tenaga lalu jatuh. Selepas beberapa minit, muka Asyilah kelihatan merah dan dia kembali segar.


           Asyilah berterima kasih kepada saya kerana telah membantunya walhal dia telah menjadi pesaing saya yang sengit dalam acara merentas desa ini. Persahabatan kami menjadi bertambah erat.

No comments :