Rain


30/11/2014

Jumpa anak kucing

Kamu dan kakak kamu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tiba-tiba, kamu ternampak seekor kucing hampir lemas di dalam longkang.
Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu ambil untuk menolong anak kucing itu.


          Ketika aku dan kakakku dalam perjalanan pulang dari sekolah, kami ternampak seekor kucing yang hampir kelemasan di dalam longkang. Alangkah kasihannya aku melihat kucing itu tenggelam timbul di permukaan air longkang.
Oleh sebab longkang itu agak dalam dan arusnya deras, sukar bagi aku dan kakak untuk menyelamatkan anak kucing itu. Nasib kami baik kerana seorang pemuda lalu di situ lantas kami meminta pertolongannya untuk mengambilkan anak kucing itu.
         Anak kucing itu menggigil kesejukan kerana badannya basah kuyub. Tanpa membuang masa, aku dan kakak membawa anak kucing itu pulang ke rumah. Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, kami mempercepatkan langkah kaki menuju ke rumah.
        Sesampainya di rumah, aku terus membawa anak kucing itu ke dapur. Aku mencari kain tuala lamaku yang sudah tidak digunakan lagi. Aku mengelap seluruh badan anak kucing itu sehingga kering.
        Kakak membawa sepiring susu untuk diberikan kepada anak kucing itu. Apabila kucing itu sudah kenyang, kami meletakkannya ke dalam sebuah bakul. Aku selimutkan anak kucing itu dengan sehelai kain supaya badannya kembali hangat.
       Sekembalinya ibu dan bapaku dari tempat kerja, kami menceritakan kejadian yang berlaku. Ibu dan bapaku berbangga atas sifat keprihatinan kami. Aku amat gembira kerana ibu dan bapaku membenarkan kami memelihara anak kucing itu.

Sejak hari itu, kucing itu menjadi binatang peliharaan kesayangan aku dan kakak. Aku dan kakak menamakan anak kucing itu Comel.

No comments :