Soalan: Anak yang baik merupakan
harta yang tidak ternilai buat ibu bapa. Tuliskan sebuah karangan tentang
cara-cara untuk menjadi anak yang baik terhadap kedua ibu bapa.
Anak yang baik merupakan
harta yang tidak ternilai buat ibu bapa. Sebagai anak, kita hendaklah berusaha
untuk menjadi anak yang baik supaya dapat memberi kegembiraan kepada mereka.
Dalam usaha untuk menjadi
anak yang baik, kita hendaklah senantiasa menjaga hati dan perasaan ibu
bapa. Segala suruhan dan nasihat mereka hendaklah dipatuhi dengan
ikhlas dan senang hati. Sudah pasti kita tidak mahu disebut sebagai anak
derhaka apabila membantah suruhan kedua ibu bapa.
Selain itu, kita juga
perlu ringan tulang membantu mengurangkan
beban ibu bapa. Di rumah, kita boleh membantu meringankan beban ibu
dengan membantu mengemas rumah dan mencuci pakaian sendiri. Kita juga boleh
meringankan beban kewangan ibu bapa dengan mengamalkan sikap berjimat cermat.
Seterusnya, kita akan
menjadi anak yang baik jika sentiasa menjaga tingkah laku yang bersopan santun
dan berlemah lembut terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Apabila bercakap
dengan ibu bapa, jangan menggunakan bahasa kesat dan meninggikan suara. Kasih
sayang ibu bapa pasti akan bertambah jika kita melayan mereka dengan baik.
Satu lagi cara untuk
menjadi anak yang baik ialah sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa di
dunia dan di akhirat. Kita boleh memohon doa kepada tuhan agar ibu bapa diberi
kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan diampunkan segala dosa. Doa boleh
diamalkan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi selepas solat.
Ibu bapa pasti berbangga
memiliki anak yang baik. Oleh sebab itu, marilah kita berusaha menjadi anak
yang baik supaya dapat menggembirakan hati sekaligus membalas jasa mereka yang
menjaga kita bagai menatang minyak
yang penuh.
No comments :
Post a Comment