Rain


30/11/2014

Sukan yang digemari.

Meminati sesuatu jenis sukan merupakan hal yang biasa dalam kalangan murid kini. Perihalkan sukan yang kamu gemari.

        Meminati sesuatu jenis sukan merupakan hal yang biasa dalam kalangan murid kini. Saya juga tidak terkecuali. Sukan yang saya minati ialah bola sepak.
        Sukan bola sepak merupakan sejenis permainan yang bertaraf dunia dan memiliki peminat yang paling ramai. Sebagai contoh, semasa musim Piala Dunia, ramai peminat bola sepak akan berkerumun di premis-premis yang menayangkan siaran perlawanan di skrin lebar. Tidak kurang juga yang sanggup bersengkang mata menonton di televisyen hingga awal pagi.
Saya menggemari sukan bola sepak sejak dari darjah satu lagi. Abang sayalah yang telah memperkenalkan permainan ini kepada saya ketika mengikutnya menjalani latihan bola sepak di padang sekolah. Namun kini saya telah berjaya menjadi salah seorang pemain bola sepak sekolah.
Saya menggemari sukan ini kerana dapat menyerlahkan kecerdasan berfikir dan bertindak. Kekuatan fizikal dan kerjasama semua pemain juga amat penting untuk mengalahkan pasukan lawan. Latihan yang cukup amat diperlukan supaya dapat bermain dengan baik.
Selain berlatih di sekolah, saya juga kerap bermain bola sepak bersama ayah dan abang saya di kawasan lapang. Ayah membelikan saya bola dan kasut bola sebagai tanda sokongannya terhadap minat saya ini. Saya berjanji akan mengharumkan nama keluarga dan sekolah melalui sukan ini.
Bagi saya, sukan bola sepak akan terus menjadi sukan nombor satu dunia serta menjadi pilihan nombor satu saya. Saya akan terus bermain bola sepak walaupun sudah dewasa kelak.

No comments :