Rain


28/11/2014

faedah perpustakaan kepada para pelajar

Setiap sekolah mempunyai kemudahan perpustakaan. Perpustakaan merupakan gedung ilmu. Tuliskan sebuah karangan tentang faedah perpustakaan kepada para pelajar.
         Perpustakaan ialah gedung ilmu. Banyak faedah yang bakal diperoleh jika para pelajar bijak memanfaatkannya. Kebanyakan murid yang telah berjaya gemar berkunjung ke perpustakaan apabila ada masa lapang.
         Antara faedah perpustakaan kepada para pelajar ialah memudahkan mereka membuat rujukan. Hal ini kerana di perpustakaan terdapat banyak buku yang meliputi pelbagai bidang yang dilabel dengan pengkelasan tertentu. Oleh yang demikian, para pelajar akan mendapat banyak maklumat dengan mudah.
         Di samping itu, suasana sunyi dan tenang di perpustakaan membolehkan para pelajar membaca dan menelaah pelajaran tanpa gangguan. Suasana sunyi juga mampu merangsang daya ingatan murid-murid.Oleh itu apa-apa yang dibaca oleh mereka akan diingati lebih lama.
         Selain itu, perkhidmatan pinjaman buku juga amat bermakna buat para pelajar. Mereka boleh meminjam mana-mana buku yang diperlukan jika mempunyai kad pinjaman. Justeru para pelajar dapat menjimatkan kos untuk membeli buku sama ada buku rujukan ataupun buku cerita.
         Seterusnya, para pelajar juga dapat memupuk sahsiah diri dengan melangkah ke perpustakaan. Peraturan-peraturan perpustakaan seperti menyimpan buku-buku yang telah dibaca, menghantar buku pinjaman mengikut tarikh yang ditetapkan dan tidak berbuat bising mampu menjadi elemen mendidik disiplin para pelajar.

         Sesungguhnya perpustakaan memang banyak faedahnya kepada para pelajar. Oleh yang demikian, para pelajar perlu pandai memanfaatkannya supaya kemudahan yang disediakan tidak sia-sia sahaja.

No comments :