Rain


18/07/2017

Karangan Keperihalan: Cara Memanfaatkan Barangan Terbuang

Dalam usaha melestarikan alam, kita perlu bijak memanfaatkan barangan terbuang.
Tulis sebuah karangan tentang cara-cara memanfaatkan barangan terbuang.

Dalam usaha melestarikan alam, kita perlu bijak memanfaatkan barangan terbuang.  Barangan terbuang boleh dimanfaatkan dengan kaedah kitar semula dan guna semula.

       Barangan terbuang seperti botol-botol kaca, barangan plastik dan kertas boleh dikumpul dan dijual ke pusat pengumpulan barangan lusuh. Walaupun harga tidaklah mahal, namun berbaloi berbanding jika hanya dibuang begitu sahaja. Lagipun usaha ini akan membantu menyelamatkan bumi dengan timbunan sampah yang sukar dilupuskan.

      Selain dijual untuk mendapatkan wang, barangan terbuang juga boleh digunakan semula. Bekas kaca dan plastik hanya perlu dibersihkan sebelum diguna semula. Sebagai contoh, balang kaca bekas jem boleh dicuci dan digunakan untuk mengisi rempah ratus di dapur.

      Di samping itu, barangan terbuang juga boleh diolah untuk dijadikan barangan lain yang bermanfaat. Bagi yang kreatif, pelbagai barangan menarik dapat dihasilkan bukan hanya untuk kegunaan sendiri malahan boleh dipasarkan. Sebagai contoh, tayar-tayar terpakai boleh dijadikan kerusi taman yang menarik dan unik.

      Barangan terbuang bukan hanya dimanfaatkan oleh individu sahaja, malahan ada kilang yang mengaut keuntungan darinya. Kilang-kilang akan mengitar semula tin, kaca dan plastik untuk dijadikan barangan baharu. Dengan cara ini, kos mendapatkan bahan mentah dapat dikurangkan

          Sesungguhnya orang ramai perlu bijak memanfaatkan barangan terbuang demi memastikan kelestarian alam. Fikir dulu sebelum buang.

No comments :