Rain


18/07/2017

Karangan Fakta: Tempat-tempat Menarik di Malaysia


Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai banyak tempat yang menarik. Tempat-tempat  ini merupakan tarikan untuk pelancong  datang ke Malaysia.

       Antara tempat yang menarik di Malaysia ialah kawasan-kawasan pantai yang bersih dan indah. Antara pantai-pantai yang sesuai untuk dikunjungi dan beriadah seperti Pantai Merdeka di Kedah, Batu Feringghi di Puala Pinang,dan Desaru di Pahang. Pantai-pantai ini telah menjadi daya penarik kepada pelancongan domestik dan luar negara.

      Selain itu, di sekitar laut pula terdapat pulau-pulau yang indah dan mempunyai persekitaran yang terpelihara. Terdapat banyak pulau di Malaysia ini dijadikan destinasi pelancongan. Antara pulau yang terkenal ialah Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Kapas dan beberapa buah pulau lain di perairan Sabah dan Sarawak.

      Kawasan pergunungan dan tanah tinggi turut menjadi tarikan pelancongan. Kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands bukan sekadar indah, malah mempunyai cuaca yang sejuk dan nyaman. Oleh yang demikian, ramai pelancong gemar melancong di sini.

        Selain tempat menarik bersasaskan alam semulajadi, terdapat juga tempat menarik yang dibina oleh kerajaan. Antaranya ialah Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas. Tempat-tempat ini turut menggamit kedatangan pelancong ke bandar-bandar besar di Malaysia.

      Kesimpulannya, sememangnya Malaysia mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi pada bila-bila masa. Keindahan dan keunikan  Malaysia menjadi kebanggaan rakyatnya.

No comments :