Kamu telah menghadapi kecemasan ketika di rumah. Oleh yang demikian, kamu tidak dapat hadir ke sekolah.Tuliskan tindakan yang kamu lakukan.
Pada minggu lepas, keluarga saya telah mengalami hal kecemasan. Adik saya telah mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Situasi menjadi sangat membimbangkan setelah adik saya tidak sedarkan diri.
Akibat daripada
kejadian itu, saya tidak dapat hadir ke sekolah. Saya ke hospital
bersama-sama ibu bapa dan adik saya. Saya meminta bantuan Afrina, kawan sekelas
yang tinggal sekampung dengan saya untuk memaklumkan ketidakhadiran saya
kepada guru kelas.
Ketika menemani adik
saya yang menerima rawatan di hospital, saya tidak membazirkan masa begitu
sahaja. Saya membuat ulang kaji dengan membaca nota-nota ringkas yang diberi
oleh guru. Saya juga turut membacakan buku-buku cerita untuk adik saya.
Setelah tiga hari di hospital, adik saya
dibenarkan pulang ke rumah. Saya kemudiannya meminta ayah menulis surat kepada
guru kelas. Surat berkenaan saya serahkan kepada guru kelas keesokan harinya.
Cikgu memahami situasi saya dan turut mendoakan agar adik saya cepat sembuh.
Saya ketinggalan banyak
pelajaran akibat tidak hadir ke sekolah. Justeru, saya mengambil tindakan
meminjam buku kawan-kawan untuk menyalin nota yang diberi oleh guru. Saya juga
turut meminta Yaani, rakan saya yang bijak mengajar saya topik yang tidak saya
fahami.
Saya bersyukur kerana
cikgu dan rakan-rakan memahami situasi saya serta ikhlas membantu saya dalam
pelajaran. Saya juga gembira kerana adik saya telah sembuh sepenuhnya.