Rain


29/12/2014

Pengalaman ternampak pelajar dibuli.

Kamu dan rakan-rakan kamu telah ternampak kejadian pelajar dibuli oleh beberapa orang pelajar nakal. Tuliskan tindakan kamu.

    Baru-baru ini, ketika aku dan beberapa orang rakan berjalan menuju ke sekolah, kami telah ternampak satu kejadian buli. Seorang budak perempuan telah dibuli oleh beberapa orang pelajar yang nakal. Kami bertindak dengan segera.

   Kami menjerkah dengan kuat dan meluru ke arah budak perempuan itu. Dengan sepantas kilas, budak-budak nakal tadi melarikan diri lintang-pukang. Budak perempuan itu hanya menangis. Bajunya comot dan dia kelihatan ketakutan.

    Setelah ditanya, budak itu menceritakan hal dia dibuli kepada kami. Wang saku dan alat tulisnya telah dirampas oleh budak-budak nakal tadi. Aku memujuknya agar berhenti menangis dan berjanji untuk membantunya.

    Aku telah membawa budak perempuan itu berjumpa dengan guru disiplin. Setelah disoal siasat oleh guru disiplin, barulah aku tahu bahawa budak itu memang sering dibuli kerana dia datang ke sekolah seorang diri serta melalui kawasan yang agak sunyi.

    Selepas kejadian itu, aku dan kawan-kawan sering menemani budak itu berjalan ke sekolah. Kami juga menasihatinya agar melaporkan kejadian buli kepada guru dengan segera jika masih berlaku kelak.

    Tidak lama kemudian, aku mendengar berita bahawa guru disiplin telah memberi amaran serta menghubungi ibu bapa pelajar-pelajar nakal tadi. Sejak kejadian itu, tidak lagi kedengaran wujudnya kes buli di sekolah kami.






No comments :