Rain


29/12/2014

Jiran Saya- Perihalkan tentang jiran kamu.

     Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Jiran tidak terhad hanya kepada sesuatu bangsa atau agama tertentu sahaja malah melingkungi semua.

    Dalam kehidupan saya di kampung, jiran-jiran saya ialah semua penduduk di kampung saya. Di kampung saya, terdapat kira-kira 20 buah rumah dan mereka semua adalah jiran saya.

    Jiran-jiran saya terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu dan Siam. Kami hidup harmoni dan saling menghormati budaya dan adat resam masing-masing. Kami saling bertegur sapa apabila bertemu dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama-sama.

    Jiran-jiran saya sangat prihatin dan saling membantu. Baru-baru ini, ketika ayah saya sakit dan dimasukkan ke wad, ramai jiran saya yang menziarahi ayah di hospital. Ada yang menumpangkan saya ke sekolah ketika ketiadaan ayah di rumah.

    Hidup sepakat membawa berkat, itulah gambaran tentang jiran-jiran saya di kampung. Kami saling bekerjasama apabila ada aktiviti di kampung. Sebagai contoh, ketika sambutan kemerdekaan, kami bersama-sama menyiapkan jalur gemilang dan memasangnya di sepanjang jalan masuk ke kampung.

    Sesungguhnya jiran-jiran saya amat bermakna dalam kehidupan saya. Mereka telah saya anggap seperti saudara saya sendiri memandangkan hubungan antara kami sekampung sangat rapat dan mesra.

     

No comments :