Rain


30/12/2014

Ada kecemasan, kamu tidak dapat hadir ke sekolah. Tuliskan tindakan anda.



Kamu telah menghadapi kecemasan ketika di rumah. Oleh yang demikian, kamu tidak dapat hadir ke sekolah.Tuliskan tindakan yang kamu lakukan.

       Pada minggu lepas, keluarga saya telah mengalami hal kecemasan. Adik saya telah mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Situasi menjadi sangat membimbangkan setelah adik saya tidak sedarkan diri.

      Akibat daripada kejadian itu, saya  tidak dapat hadir ke sekolah. Saya ke hospital bersama-sama ibu bapa dan adik saya. Saya meminta bantuan Afrina, kawan sekelas yang tinggal sekampung dengan saya  untuk memaklumkan ketidakhadiran saya kepada guru kelas.

     Ketika menemani adik saya yang menerima rawatan di hospital, saya tidak membazirkan masa begitu sahaja. Saya membuat ulang kaji dengan membaca nota-nota ringkas yang diberi oleh guru. Saya juga turut membacakan buku-buku cerita untuk adik saya.

      Setelah tiga hari di hospital, adik saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya kemudiannya meminta ayah menulis surat kepada guru kelas. Surat berkenaan saya serahkan kepada guru kelas keesokan harinya. Cikgu memahami situasi saya dan turut mendoakan agar adik saya cepat sembuh.

    Saya ketinggalan banyak pelajaran akibat tidak hadir ke sekolah. Justeru, saya mengambil tindakan meminjam buku kawan-kawan untuk menyalin nota yang diberi oleh guru. Saya juga turut meminta Yaani, rakan saya yang bijak mengajar saya topik yang tidak saya fahami.


     Saya bersyukur kerana cikgu dan rakan-rakan memahami situasi saya serta ikhlas membantu saya dalam pelajaran. Saya juga gembira kerana adik saya telah sembuh sepenuhnya.


No comments :