Rain


Showing posts with label sk batu 8. Show all posts
Showing posts with label sk batu 8. Show all posts

07/08/2017

Penggunaan Kata Yang Lewah

PENGGUNAAN KATA YANG LEWAH

Contoh binaan ayat dan frasa yang berikut menunjukkan penggunaan kata yang berlebih-lebih sehingga tertambah perkara yang tidak perlu atau berlaku ulangan makna yang sia-sia.

*SALAH
Mereka saling bantu-membantu
Dia menjerit-jerit berkali-kali.
Setiap pagi, saya bangun pada pukul enam pagi.
Ibu sedang menganyam tikar sekarang.
punca penyakit itu disebabkan virus
manusia pada zaman purba dahulu
ingin hendak berniaga
terancam pada masa sekarang ini


 *BETUL
mereka saling membantu
Dia menjerit berkali-kali.
Setiap pagi, saya bangun pada pukul enam.
Ibu sedang menganyam tikar.
punca penyakit itu ialah virus
manusia pada zaman purba
ingin berniaga
terancam pada masa sekarang

01/08/2017

Karangan Catatan

Setiap murid mempunyai aktiviti harian masing-masing.
Tuliskan catatan aktiviti harian kamu selengkapnya.

Ahad, 1 Ogos 2017
6.00 pagi
Saya bangun setelah dikejut oleh ibu. Selepas mengemas tempat tidur, saya mandi dan bersolat  jemaah. Kemudian,sebelum bertolak ke sekolah, saya akan bersarapan bersama keluarga terlebih dahulu.

7.30 pagi
Saya dan rakan-rakan  sampai di sekolah sebelum loceng pertama berbunyi. Selepas perhimpunan pagi, saya akan masuk ke kelas untuk belajar. Semasa belajar, saya sentiasa fokus mendengar penerangan guru.

10.15 pagi
Apabila loceng rehat berbunyi, saya dan rakan-rakan akan menjamu selera di kantin. Usai makan, saya akan mengunjungi perpustakaan untuk membaca buku. Kadang-kadang saya hanya membaca akhbar di sudut bacaan santai.

2.30 petang
Saya mengikuti kelas tambahan yang  dianjurkan oleh Jawatankuasa Peningkatan UPSR sekolah saya. Saya telah dikelompokkan dalam kumpulan Arif bersama-sama lima orang rakan yang lain. Kumpulan kami menjawab soalan dan berbincang  bersama-sama.

6.00 petang
Masa untuk saya bersantai bersama keluarga. Selalunya saya dan adik akan bermain badminton di halaman rumah. Kadang-kadang, saya membantu  ibu dan ayah melakukan kerja-kerja di rumah seperti menyiram pokok bunga dan mencuci kereta.

9.00 malam

Selepas solat Isyak, saya akan membuat ulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru. Sebelum tidur, saya akan mengikut jadual  waktu dan menyiapkan pakaian sekolah untuk hari esok.

( SK Batu 8 )

18/07/2017

Karangan Keperihalan: Cara Membasmi Pembiakan Nyamuk Aedes

Demam denggi merupakan penyakit bawaan nyamuk yang berbahaya.
Tuliskan tentang cara-cara untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk Aedes yang sangat berbahaya. Oleh itu, pembiakannya perlu dibasmikan. Tiada Aedes tiada denggi.

       Antara cara untuk membasmikan nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan. Tempat-tempat seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan kolam mandi akan menjadi tempat nyamuk bertelur. Air yang bertakung hendaklah diganti sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

      Sampah-sampah yang boleh menakung air seperti tempurung kelapa, botol-botol minuman dan plastik hendaklah dibuang dengan cara yang betul. Sampah-sampah tersebut boleh ditanam, dibakar atau dimasukkan ke dalam tong sampah yang bertutup.Selain dibuang, ada antara sampah-sampah tersebut yang boleh dihantar ke kilang untuk dikitar semula.

       Di samping memastikan nyamuk tiada tempat bertelur, nyamuk dewasa juga boleh dibunuh dengan menggunakan semburan racun serangga. Dengan cara dan kadar semburan yang betul, dapat membunuh nyamuk yang sedang terbang mahupun yang bersembunyi di dalam rumah.Semburan berskala besar boleh dilakukan oleh pihak kesihatan di kawasan-kawasan yang banyak nyamuk.

      Selain itu, pembiakan Aedes dapat dibasmikan dengan memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air. Ubat pembunuh jentik-jentik perlu dibubuh tiga bulan sekali. Dengan cara ini, kitaran hidup nyamuk akan terputus dan nyamuk akan dapat dibasmikan.

       Kesimpulannya, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Tindakan yang bijak boleh menyelamatkan nyawa.