Rain


Showing posts with label karangan upsr. Show all posts
Showing posts with label karangan upsr. Show all posts

01/08/2017

Karangan Catatan

Setiap murid mempunyai aktiviti harian masing-masing.
Tuliskan catatan aktiviti harian kamu selengkapnya.

Ahad, 1 Ogos 2017
6.00 pagi
Saya bangun setelah dikejut oleh ibu. Selepas mengemas tempat tidur, saya mandi dan bersolat  jemaah. Kemudian,sebelum bertolak ke sekolah, saya akan bersarapan bersama keluarga terlebih dahulu.

7.30 pagi
Saya dan rakan-rakan  sampai di sekolah sebelum loceng pertama berbunyi. Selepas perhimpunan pagi, saya akan masuk ke kelas untuk belajar. Semasa belajar, saya sentiasa fokus mendengar penerangan guru.

10.15 pagi
Apabila loceng rehat berbunyi, saya dan rakan-rakan akan menjamu selera di kantin. Usai makan, saya akan mengunjungi perpustakaan untuk membaca buku. Kadang-kadang saya hanya membaca akhbar di sudut bacaan santai.

2.30 petang
Saya mengikuti kelas tambahan yang  dianjurkan oleh Jawatankuasa Peningkatan UPSR sekolah saya. Saya telah dikelompokkan dalam kumpulan Arif bersama-sama lima orang rakan yang lain. Kumpulan kami menjawab soalan dan berbincang  bersama-sama.

6.00 petang
Masa untuk saya bersantai bersama keluarga. Selalunya saya dan adik akan bermain badminton di halaman rumah. Kadang-kadang, saya membantu  ibu dan ayah melakukan kerja-kerja di rumah seperti menyiram pokok bunga dan mencuci kereta.

9.00 malam

Selepas solat Isyak, saya akan membuat ulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru. Sebelum tidur, saya akan mengikut jadual  waktu dan menyiapkan pakaian sekolah untuk hari esok.

( SK Batu 8 )

23/07/2017

Karangan Fakta

Kebaikan Membeli Barangan Buatan Malaysia

Slogan Belilah Barang Buatan Malaysia merupakan slogan yang sering kita dengar sama ada di televisyen atau di radio. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh dengan membeli barangan buatan Malaysia.
         
        Antara kebaikan membeli barangan buatan Malaysia ialah dapat menjimatkan kos. Barangan yang dihasilkan di dalam negara sudah pasti dapat dijual dengan murah kerana tidak perlu menampung kos pengangkutan untuk membawa masuk produk dari luar negara. Selain itu kos pembuatannya juga murah kerana menggunakan bahan mentah yang tidak perlu diimport.

        Seterusnya, kita juga dapat menggunakan barangan yang berkualiti jika membeli barangan buatan Malaysia. Barangan buatan Malaysia sudah setanding mutunya dengan barangan luar negara. Hal ini kerana, penghasilan produk di dalam Malaysia perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan.

        Di samping itu, barangan buatan Malaysia mudah didapati di mana-mana kedai di Malaysia. Banyak kedai yang menjual barangan buatan Malaysia lantaran harganya yang murah dan kualitinya yang baik. Lebih-lebih lagi kerajaan Malaysia telah mewujudkan rangkaian kedai yang hanya menjual barangan buatan Malaysia iaitu Kedai 1 Malaysia.

        Selain itu, dengan membeli barangan buatan Malaysia, kita dapat membantu mengembangkan ekonomi negara. Bukan sahaja pengilang-pengilang tempatan dapat memajukan perniagaan mereka, bahkan jumlah pengusaha baharu akan bertambah.  Hal ini akan memboleh ekonomi negara berkembang pesat.


        Sesungguhnya membeli barangan buatan Malaysia banyak menberikan kebaikan. Rakyat Malaysia perlu menjadi pengguna yang bijak.