Rain


15/11/2015

JAMUAN AKHIR TAHUN 2015

TARIKH: 15 NOVEMBER 2015
JAM: 10.45 PAGI
LOKASI: KELAS DIAORANG MASING-MASING










TERIMA KASIH KEPADA GURU KELAS DAN MURID-MURID YANG MENGUNDANG CIKGU KE JAMUAN AKHIR TAHUN.

    Sengaja Cikgu Upload di sini sebagai kenangan cikgu suatu hari nanti. Mungkin ini peluang terakhir cikgu bergurau senda dengan murid-murid SKFBT.

    Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan,
     Intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan............................

30/09/2015

Pendidikan Seni Visual Tahun Lima

Batik Ikat dan Celup

Kamu boleh dapatkan panduan tentang proses membatik kaedah ikat dan celup daripada

 http://senivisual1.blogspot.my/2012/02/proses-ikat-celup.html

atau

http://id.wikihow.com/Menggunakan-Teknik-Ikat-Celup

atau

boleh baca artikel yang cikgu copy daripada http://senivisual2012.blogspot.my/2012/04/kajian-rekaan-seni-visualkrsv-spm-2012.html


Kaedah dan Teknik

Pelbagai kaedah digunakan bagi menimbulkan corak menarik yang spontan dapat dilakukan oleh pereka tektil, namun eksplorer atau eksperimen sangat sesuai bagi menentukan cara ikatan dan lipatan untuk mendapatkan corak. paling penting empat (4) perkara untuk memastikan corak spontan itu dapat dihasilkan:
1.    Cara Lipatan
2.    Cara Ikatan
3.    Cara mewarna dan jenis warna
4.    bantuan unsur lain sperti batu, garam dll
Alat dan Bahan:
1.    Kain jenis cotton
2.    Dye -pelbagai jenis dye boleh digunakan
3.     Getah atau tali tidak serap air
4.    bahan-bahan lain seperti anak batu, kacang dsb

1. Cara Lipatan.
Cara lipatan dapat menentukan corak yang menarik, ada menggunakan jarum dan ada mengikat. eksperimen cara melipat dan meletakakan warna dapat menentukan hasil yang menarik. Lihat gambar dibawah:


2. Cara Ikatan
Cara ikatan memberi kesan kepada corak yang sangat menarik. Lihat gambar-gambar dibawah:


3. Cara mewarna dan jenis warna:
kebiasaan tenik ini dibuat dengan cara mencelup dalam warna kain yang telah dilipat dan diikat. Namun banyak kaedah-kaedah lain boleh digunakan untuk memberi kesan yang menarik. misalnya kaedah sapuan berus, sembur dan memicit warna.



4. Bantuan bahan lain seperti batu (anak batu), kacang dan lain-lain bahan semasa mengikat kain sangat membantu memberi kesan warna yang menarik. disamping itu bahan-bahan nyah warna seperti garam, cuka dan lian-lain memberi ipak kepada kesan perwarnaan.

 Dibawah ini menunjukkan beberapa langkah yang menarik teknik ini untuk mendapat kesan corak menarik.




Contoh Beg corak ikat dan celup.

Kamu juga boleh menonton video-video di bawah ini sebagai panduan






 corak sisik


 corak hati



corak smiley\







17/09/2015

Permohonan Atas Talian Sekolah Kawalan 2016

Untuk perhatian murid-murid tahun 6 Iltizam dan 6 Dinamik !!!!

Sekarang ni sedang berjalannya proses permohonan atas talian ke sekolah-sekolah kawalan bagi tingkatan 1 tahun 2016. Ibu bapa serta waris kamu telah diberi taklimat tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan.

       Namun begitu, cikgu masih bimbang sekiranya waris kamu masih tidak faham ataupun menghadapi kesukaran untuk membuat permohonan.  Jadi, cikgu mahu kamu membantu ibu bapa/ waris kamu. Memang sepatutnya kamu bersama-sama waris kamu membuat permohonan tersebut sebab hanya kamu yang tahu sekolah pilihan kamu.

      Sebagai panduan untuk mengisi borang permohonan atas talian, sila klik http://www.moe.gov.my/ 
Sila buat permohonan sebelum berakhir bulan September ni. Kalau boleh selesaikan semasa cuti ni (18 -27 September 2015) supaya tidak berhadapan dengan masalah sistem apabila dilakukan pada saat-saat akhir.

      Jika kamu dan waris kamu menghadapi masalah, hubungi Cikgu Shahrum atau Cikgu Rosmazira untuk mendapatkan bantuan.

05/09/2015

Karangan dialog: Kejayaan rakan dalam Program NILAM

*Sepatutnya karangan dialog ditulis secara santak ke dalam, tetapi cikgu tidak dapat lakukan demikian akibat masalah teknikal. 

Kamu telah berbual-bual dengan seorang rakan yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Sekolah.

Tuliskan sepenuhnya perbualan kamu dengannya.


Hanis: Selamat pagi Ikha. Tahniah kerana kamu telah berjaya dinobatkan sebagai Tokoh Nilam sekolah kita. Apakah perasaan kamu?

Ikha: Selamat pagi dan terima kasih Hanis. Saya sangat bersyukur kerana mendapat anugerah tersebut. Saya berterima kasih kepada semua guru dan rakan yang sudi pinjamkan saya buku-buku. Jasa mereka tidak akan saya lupakan.

Hanis: Siapakah yang telah memberi dorongan kepada kamu untuk terus membaca?

Ikha: Sebenarnya ibu bapa sayalah yang menjadi pendorong utama saya. Kedua-dua mereka selalu belikan saya buku-buku yang menarik. Kadang-kadang, kami membaca bersama-sama.

Hanis: Boleh kamu kongsikan apakah rahsia sehingga berjaya membaca sebanyak 1500 buah buku?

Ikha: Rahsia saya ialah disiplin yang tinggi. Saya akur kepada jadual yang telah saya susun. Seminggu, saya akan membaca 20 buah buku secara tetap.

Hanis: Selepas kejayaan ini, apa pula perancangan kamu?

Ikha: Saya berazam untuk membaca lebih banyak buku ilmiah dan buku agama. Lebih-lebih lagi, tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan penting.

Hanis: Saya bangga mempunyai rakan yang bermotivasi tinggi seperti kamu. Saya berharap kamu akan meraih kejayaan yang lebih besar.

Ikha: Terima kasih, Hanis.


Karangan Manfaat Program NILAM kepada pelajar.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di seluruh Malaysia.
Tuliskan sebuah karangan tentang manfaat program ini kepada para murid.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di Malaysia. Program ini banyak memberikan manfaat kepada para murid.

Antara manfaat program NILAM ialah dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini terjadi apabila para murid diwajibkan membaca dan terus membaca untuk direkodkan ke dalam buku Rekod NILAM. Membaca secara berterusan boleh menyebabkan amalan tersebut kekal menjadi tabiat.

Selain itu, program ini juga mampu memberi pengiktirafan kepada para murid. Murid yang mencatat bacaan yang terbanyak dalam buku Rekod NILAM akan dianugerahkan gelaran Tokoh NILAM. Anugerah yang diberi akan menjadi perangsang kepada murid untuk lebih berjaya.

Seterusnya, melalui program NILAM ini juga murid-murid dapat memperluas pengetahuan masing-masing. Pengetahuan murid-murid akan bertambah ekoran membaca pelbagai jenis buku yang sudah pastinya mengandungi banyak ilmu. Hal ini bersesuai dengan kata pepatah Melayu iaitu membaca jambatan ilmu.

Di samping itu, program NILAM juga membolehkan murid-murid menggunakan masa terluang dengan berfaedah. Masa lapang yang ada digunakan untuk membaca bersama keluarga dan rakan-rakan. Oleh yang demikian, mereka dapat terhindar daripada melakukan aktiviti yang tidak senonoh.


Sesungguhnya program NILAM memang banyak mendatangkan manfaat kepada murid-murid. Peluang terbaik ini hendaklah direbut oleh semua murid demi kebaikan sendiri.

23/08/2015

Nota Tatabahasa: Kata Penguat

Kata Penguat

Kata penguat hadapan
(paling, agak,terlalu) pat

1.Kereta itu bergerak agak perlahan.
2.Saya paling benci akan bau busuk.
3.Dia sudah terlalu tua untuk bekerja.


Kata penguat belakang
(benar, sekali, nian,betul) bsnb

1. Sakit benar kaki saya ini.
2.Susah betul soalan Sejarah ini.
3.Indah nian pemandangan senja di kampung nelayan ini.
4.Berat sekali beg ini.



Kata penguat bebas
(amat, sangat, sungguh) ass
1a.Pokok pinang ini amat tinggi.
1b.Pokok pinang ini tinggi amat.

2a.Suara Mira sangat merdu.
2b.Suara Mira merdu sangat.

3a.Guru kami sungguh baik.
3b.Guru kami baik sungguh.



Penggunaan kata penguat bebas seperti amat, sangat dan sungguh bersama-sama dengan kata penguat belakang sekali dianggap betul dalam bahasa Melayu.

1.Jiran saya amat baik sekali.
2.Budak kecil itu amat pintar sekali.
3.Sungguh berjasa sekali Pak Man kepada penduduk kampung ini.
4.Baktinya kepada masyarakat di sini sangat besar sekali.


Dua kata penguat tidak boleh diletakkan serentak di depan dan di belakang kata adjektif iaitu betul, nian, sangat dan amat.

(salah)
  • Budak kecil ini amat pintar betul. (x)
  • Sungguh berjasa nian Pak Man kepada penduduk kampung ini. (x)
  • Baktinya kepada masyarakat di sini sangat besar amat. (x)


Dua unsur penguat boleh hadir serentak sebelum kata adjektif.

  • Sungguh amat berjasa Pak Man kepada penduduk kampung ini. (/)
  • Bangunan yang teramat besar itu bangunan kerajaan. (/)


Nota Tatabahasa: Kata Bilangan

 Kata Bilangan

 A.Terdapat enam jenis kata bilangan iaitu :
1.Kata bilangan tentu seperti satu, seratus, seribu dan sebagainya.
2.Kata bilangan tak tentu seperti beberapa, para, semua, setengah-setengah dan sebagainya.
3.Kata bilangan pecahan seperti suku, setengah dan sebagainya.
4.Kata bilangan pisahan seperti masing-masing, setiap dan sebagainya.
5.Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, kedua-dua dan sebagainya.
6.Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, ketiga dan sebagainya.

B.Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dankedua-dua tidak boleh disingkatkan.

 (salah)
  • setengah orang (x)
  • tiap pelajar (x)
  • berbagai warna (x)
  • kedua mempelai  (x)
 (betul)
  • setengah-setengah orang(√) / sesetengah orang (√)
  • tiap-tiap pelajar  (√)
  • berbagai-bagai warna  (√)
  • kedua-dua mempelai    (√)
  •  
C. Kata para tidak boleh diulang.

  • Para-para penduduk perlu bekerjasama. (x)
  • Para penduduk perlu bekerjasama. (√)
4. Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan sebagainya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti setengah dan suku untuk penghitungan.

  • dua setengah meter (x)
  • dua suku jam (x)
  • tiga setengah ringgit (x)

  • dua meter setengah (√)
  • dua jam suku (√)
  • tiga ringgit setengah (√)


14/07/2015

Biskut Roti Coklat Nestum



Assalamualaikum dan selamat hari raya kepada semua pengunjung blog . Sebenarnya post ni Cikgu nak muatkan dalam blog DuniaKecilKu. Tetapi memandangkan blog tersebut masih belum ready sepenuhnya..di sinilah Cikgu menumpang.

Suasana hari raya kian terasa...hari ni dah 27 Ramadan 1436H. Kebanyakan suri rumah dah sibuk membuat persiapan raya termasuklah menyediakan kuih raya. Memang ramai yang dah expert bab-bab kuih ni,...pejam mata pun boleh buat. Sukatan bahan-bahan main agak-agak jer pun menjadi..

Namun, masih ada yang terbelek-belek mencari resepi dalam Internet, buku-buku resepi dan tak kurang juga yang bertanyakan tips dan petua kepada kawan-kawan. 

Cikgu ni masih belum boleh join group yang expert ...semiexpert pun rasanya tak layak. So, ternetlah tempat rujukan utama Cikgu. 

Dalam usaha  mencari-cari resepi yang sedap, unik dan mudah serta kos murah..akhirnya Cikgu telah menemui resepi muah muah muah spesel di http://www.fieza.net. Fieza namakan biskutnya Biskut jejari Roti Coklat, tapi Cikgu ubahlah sikit coz Cikgu tak gunting jadikan jejari...agak lebar gitu.Thanks Fieza share resepi yang teramatttt mudah ni...

Jom kita lihat bahan-bahan untuk resepi Biskut Roti Coklat Nestum. Cekedaut>>>

Roti High5 Sure Value (Cikgu ikut saranan Feiza sebab dia dah buat experimen)
Coklat masakan Bunga Raya (200 gm)
Nestum original (25 gm)
2 sudu makan butter

Simplekan bahan-bahannya...

Kita check cara-caranya pulak>>>

1. Gunting roti ikut (saiz dan bentuk terpulang masing-masing)
2. Letak dalam dulang pembakar (Fieza pesan jarak-jarakkan)
3. Bakar sampai garing (kekuningan)
4. cairkan coklat yang dicampur butter secara double boil
5. Celupkan roti yang dibakar tadi
6. Masukkan ke dalam longgokan nestum...nestum akan melekat pada roti.
7. Biarkan sejuk sebelum simpan dalam bekas kedap udara.

Gitu jer caranya...mudahkan?

Cubalah jangan tak cuba. Dijamin sedappp.
Kalau nak makan biskut yang Cikgu buat, datanglah ke rumah.


14/06/2015

Julat Markah Sekolah Rendah 2015

Untuk Pengetahuan Anak-anak Murid Cikgu, markah peperiksaan /ujian kamu diberi gred yang berbeza antara murid tahun 6 dengan murid tahun 4 & 5 (KSSR).

Untuk Darjah 6, julat gred yang lama masih digunakan: (Murid KBSR)
80 - 100 --> A
60 -- 79 --> B
40 -- 59 --> C
20 -- 39 --> D
01 -- 19 --> E
00 --------> TH

Untuk Darjah 4 dan Darjah 5, berikut ialah julat gred yang baru: (Murid KSSR)
85 - 100 --> A
70 -- 84 --> B
60 -- 69 --> C
50 -- 59 --> D
40 -- 49 --> E
01 -- 39 --> F
00 --------> TH

Jika semua subjek mendapat E masih dikira Menguasai (LULUS), tetapi jika ada walaupun 1 subjek mendapat F maka keputusannya Tidak Menguasai (GAGAL).