Rain


05/09/2015

Karangan Manfaat Program NILAM kepada pelajar.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di seluruh Malaysia.
Tuliskan sebuah karangan tentang manfaat program ini kepada para murid.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di Malaysia. Program ini banyak memberikan manfaat kepada para murid.

Antara manfaat program NILAM ialah dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini terjadi apabila para murid diwajibkan membaca dan terus membaca untuk direkodkan ke dalam buku Rekod NILAM. Membaca secara berterusan boleh menyebabkan amalan tersebut kekal menjadi tabiat.

Selain itu, program ini juga mampu memberi pengiktirafan kepada para murid. Murid yang mencatat bacaan yang terbanyak dalam buku Rekod NILAM akan dianugerahkan gelaran Tokoh NILAM. Anugerah yang diberi akan menjadi perangsang kepada murid untuk lebih berjaya.

Seterusnya, melalui program NILAM ini juga murid-murid dapat memperluas pengetahuan masing-masing. Pengetahuan murid-murid akan bertambah ekoran membaca pelbagai jenis buku yang sudah pastinya mengandungi banyak ilmu. Hal ini bersesuai dengan kata pepatah Melayu iaitu membaca jambatan ilmu.

Di samping itu, program NILAM juga membolehkan murid-murid menggunakan masa terluang dengan berfaedah. Masa lapang yang ada digunakan untuk membaca bersama keluarga dan rakan-rakan. Oleh yang demikian, mereka dapat terhindar daripada melakukan aktiviti yang tidak senonoh.


Sesungguhnya program NILAM memang banyak mendatangkan manfaat kepada murid-murid. Peluang terbaik ini hendaklah direbut oleh semua murid demi kebaikan sendiri.

No comments :