Rain


19/04/2016

Faedah Hidup Bermasyarakat

Kehidupan kita akan lebih bermakna jika kita mengamalkan hidup bermasyarakat.
Tuliskan faedah-faedah yang diperoleh dengan mengamalkan hidup bermasyarakat.
Amalan hidup bermasyarakat merupakan amalan murni yang wajar diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Amalan ini banyak memberikan faedah dalam kehidupan kita.
        Antara faedah hidup bermasyarakat, ialah jiwa kita akan tenang dan dapat menjalani kehidupan dengan gembira. Hal ini kerana kita tidak akan keseorangan dan sunyi kerana sentiasa dikelilingi rakan dan jiran. Umpama aur dengan tebing, kita dan masyarakat adalah saling memerlukan.
        Selain itu, dengan mengamalkan hidup bermasyarakat juga kita akan dapat meringankan beban. Antara beban yang dapat diatasi ialah beban tenaga terutama ketika mengadakan kenduri atau apa-apa majlis. Jiran terdekat kita sudah pasti akan meringankan beban kita melalui amalan gotong-royong.
        Di samping itu, dengan amalan ini juga kita akan dapat menambah dan mengeratkan hubungan silaturahim. Hubungan yang baik akan terjalin jika kita melakukan aktiviti bersama-sama . Antara aktiviti masyarakat yang boleh diamalkan ialah ziarah-menziarahi, gotong-royong, bertukar-tukar hidangan dan berkongsi kereta ke tempat kerja.
        Seterusnya, amalan hidup bermasyarakat ini juga dapat menjamin keselamatan kita. Hal ini terbukti apabila wujudnya pasukan sukarela di taman-taman perumahan dan perkampungan yang berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan. Dengan kerjasama sebegini, keselamatan akan lebih terjamin.
        Sesungguhnya amalan hidup bermasyarakat banyak memberi impak positif. Oleh yang demikian, kita wajar mengamalkannya demi kebaikan bersama.

        

No comments :